London: Jaguh legenda UFC, Khabib Nurmagomedov tidak tewas dalam 29 aksi karier profesionalnya dan The Eagle bersara secara rasmi daripada MMA selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254.
Rekod kemenangan Khabib satu pencapaian mengagumkan dengan kebanyakan peminat MMA menganggap dia yang terbaik dalam generasinya.
Tetapi pada peringkat amatur, bintang Russia itu gagal mempertahankan rekod tanpa kalahnya apabila pada 2003, Khabib yang berusia 17 tahun tewas di tangan Magomed Ibragimov dalam acara akhir Sambo.
Khabib mula bergiat dengan judo pada usia 15 tahun selain turut mendalami seni Sambo bersama bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov yang meninggal dunia tahun lalu.
Pada peringkat awal, bakat Khabib jeIas terserlah dan dianggap bintang masa depan tetapi dia menentang pencabar sebenar ibarat buku bertemu ruas pada 2003 apabila lawannya Ibragimov dinobatkan sebagai pemenang.
Pertarungan dua jaguh muda itu berlangsung sengit dan pada satu ketika kedua-dua mereka saling berbalas tumbukan.
Selepas Ibragimov akhirnya dinobatkan pemenang, Khabib melutut ke lantai sambil menangis di atas kekalahan pertamanya itu.
Pencabarnya itu yang kemudian meraih gangsa Sukan Olimpik 2016 dan Sukan Asia 2018 dalam karier gemilangnya mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila terus memeluk dan menenangkan Khabib.
Tetapi itulah kekalahan pertama dan terakhir Khabib yang menjadi pembakar semangat untuknya terus mendominasi UFC sehingga persaraannya.
Sumber hmetro.com.my/.


Tidak ada komentar:
Posting Komentar